Wednesday, June 3, 2009

Dust As My Bed

3 Jun 09. Jam 8.15 pagi. Seorang kenalan menelefon menyatakan ayahandanya (juga kenalan kepada ibu dan bapa saya) sedang nazak. 15 minit kemudian,beliau SMS pula ... ayahandanya telah dijemput Illahi. Saya dan keluarga bergegas ke KT. Setiba di hospital, jenazah telah disiap ditajhizkan dan sedang disolati di kamar mayat. Kemudian jenazah di bawa ke Kg S. Kami mengekori rombangan kenalan tersebut ke rumah beliau.

Saya dan FHK mengambil wudu' dan masuk ke dalam rumah, jenazah terbujur kaku diselitupi kain batik. NSS, FNW, FND serta FIH pula berkumpul bersama jemaah wanita. Tahlil ringkas di baca. Kemudian, kain kafan dirungkai sedikit bagi membolehkan ahli keluarga terdekat menatap wajah arwah buat kali terakhir. Seusai anak-anak dan saudara mara melihat wajah arwah, kain kafan pun diikat erat kembali.

Imam pun mengangkat takbir untuk Solat ke atas mayit. Dengan takbir pertama - diikuti al-Fatihah, takbir kedua - dikuti Selawat ke atas Nabi, dan takbir ketiga serta keempat - diikuti doa memohon keampunan Allah ke atas si mayit; maka, selesailah salah satu fardhu kifayah pengurusan jenazah.

Mayit lantas dipindahkan ke atas pengusungan khas untuk dimasukkan ke dalam van jenazah. Imam pun membuat pengumumam bagi hadirin sekiranya ada kesalahaqn si mayit mohon lah diampunkan, jika ada hutang mohon dihalalkan atau menghubungi waris bagi menyelesaikannya. Van pun bertolak membawa si mayit menuju destinasi seterusnya iaitu Alam Barzakh.

Kami mengikuti rombongan ke pemakaman. Saya sedikit sebanyak menolong membawa jenazah di atas pengusungan ke tempat persemadian. Beberapa kakitangan makam telah menyediakan sebuah "banglo" berukuran 3 kaki lebar x 6 kaki panjang x 7 kaki dalam. Itulah destinasi kita semua kelak, Insya'Allah. Mayat dimasukkan ke dalam liang lahad dan ditutup dengan papan bertaut rapi. Para pekerja pemakaman pun mula menimbus kubur tersebut dibantu saudara mara si mati.

Selesai proses menimbus dan merapi kubur tersebut, sekeping tikar mengkuang dihambar di atas tanah bagi membolehkan imam duduk meneruskan upacara bacaan talkin.

Ada yang berpendapat bacaan talkin ini untuk yang hidup mengingati mati. Contoh bacaan talkin... Ehm, sepanjang ingatan saya semasa di Tanah Suci, tiada bacaan talkin di kuburan. Dan, khabarnya di Perak untuk menjadi Ketua Kampung kena pandai Baca Talkin ... amacam ketua-ketua kg yang lain ..?

Jam 12:05tgh, selesai imam membaca talkin, saya berjumpa dengan kenalan tersebut memohon mengundurkan diri. Itulah penghormatan terakhir dan juga sebagai perlaksanaan fardhu kifayah. Sesuatu yang mencuit hati saya .... begitu mudah proses menguruskan jenazah allahyarham, lebih kurang 3 jam setengah saja. Saya juga mendapat tahu, pada semalamnya arwah sihat sejahtera, sehinggalah dimasukkan ke hospital sebelah malamnya. Dalam masa 12 jam, arwah telah dijemput Illahi.

Kami pulang ke PG petangnya.

Jam 8:40mlm. Selepas solat Isya' dan wirid, Imam memaklumkan seorang sahabat telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Pakar di JB. Butiran selanjutnya dalam penantian kerana ada kemungkinan jenazah akan dibawa kembali ke kg asalnya di Selangor. Wallahu'Alam.